Friday, April 15, 2011

Scan Hati: Ikhlaskah kita?



Scan Hati: Apabila rasa senang dengan pujian, rasa sakit dengan penghinaan, menunjukkan kita ada kepentingan peribadi (huzuzun nafsi). Tanda kita tidak ikhlas membuat kebaikan.





Dalam satu hadis Qudsi Allah berfirman yang bermaksud: “Ikhlas adalah satu rahsia dalam rahsia-rahsia-Ku. Aku titiskan ia dalam hati hamba-hambaku yang Aku mengasihinya”

Kita hanya dapat mengenal simptom luarannya sahaja. Mari kita suluh hati kita, benarkah ikhlas atau sebaliknya.

Tanda seseorang itu ikhlas di antaranya:
1. Orang puji atau keji sama sahaja. Dipuji hati tdak berbunga, dikeji hati tidak pula derita, kerana hatinya sudah dengan Allah, tidak terganggu dengan kata-kata makhluk.
2. Kalau dia dipuji susah hatinya, kalau dia dikeji hatinya boleh menerimanya. Hati kecilnya berkata, " Aku hamba memanglah ada cacat celanya, patutlah kena keji"
3. Apabila letih bekerja tidak pula marah-marah dengan orang lain yang mengganggunya atau tidak membantunya.
4. Kalau dia membuat ibadah atau
buat apa-apa kerja, hatinya tidaklah pula berkata, harap-harap ada orang melihat supaya ada orang memujinya.
5. Setiap kebaikan yang diabuat dia tidak suka orang lain melihatnya, bimbang kalau-kalau hatinya berbunga.
6. Kalau dia rajin atau beribadah sama ada di waktu seorang atau di waktu ramai, sama saja.
7.Dia berbuat baik bukan kerana digesa-gesa atau disuruh-suruh, kemudian membuatnya kerana malu dengan manusia.
8. Dia berbuat bukan kerana sudah kehendak masyarakat, yang mana kalau tidak dibuat apa kata orang pula.
9. Kalau  dia dipuji dia rajin atau berbuat, kalau dia dicaci dia tidak rajin atau buat tak kisah.
10. Kebaikan-kebaikan yang dibuatnya, dia suka sangat hendak menyebut-nyebutnya supaya semua orang tahu.
11. Di hadapan orang dia rajin, bertertib dan berakhlak, tetapi jika berseorangan dia  malas, beramal hendak cepat-cepat dan sambil lewa.

Ikhlas itu jiwa yang murni, Rahsia Allah di dalam hati, Terlalu sembunyi tapidapat dikesan, Jika disuluh dengan saksama.Nista dan puji tiada berbeza - Nasyid Sifat Mahmudah oleh Hijjaz

Apabila pujian tidak membanggakan kita dan kejian tidak menyakitkan, itulah petanda ikhlas. Maknanya amalan itu betul-betul dibuat kerana Allah. Kerana itu kalau manusia cerca, caci atau hina, hati pun tidak cacat, tak timbul perasaan marah, dendam atau ingin membela diri atau melawan orang yang menghina itu.

Bagaimana pula kalau orang puji kita? Adakah pujian itu tidak membekas di hati kita? Adakah rasa bangga, puas hati, rasa diri mulia disebabkan oleh pujian itu?

Kalau benar ikhlas, pujian dan kejian tidak pernah difikirkan apatah lagi hendak di harapkan. Mereka yang ikhlas sangat takut kalau-kalau Allah menolak amalan dan memurkai mereka. Sebaliknya mereka sangat ingin Allah menerima baik amalan-amalan mereka serta meredhai mereka.

Orang yang ikhlas sanggup mengetepikan kepentingan sendiri dalam usaha mencari keredaan Allah. Mereka tidak bimbang nasib diri, rugi atau untung, orang keji atau puji, menang atau kalah, yang penting supaya Allah menerima baik amalan mereka.

Lebih baik menerima kejian dari pujian, kerana jika kita dikeji, lalu kita redha, pahala di sisi Allah. Malah kejian itu membuat kita sentiasa mencari-cari kelemahan, lalu membaiki diri.

Sedangkan jika kita dipuji, bimbang-bimbang jika apa yang kita lakukan itu akan hancur lebur dalam pandangan Allah, dek kerana hati berbunga-bunga dengan pujian. Ibarat kita membangunkan rumah atau bangunan, siap-siap sahaja rumah itu, ia pun runtuh.

Kejian dari manusia itu hakikatnya teguran dari Allah, agar kita semakin berusaha menghampirkan diri kepadaNya.



Memang benar pujian boleh meningkatkan semangat, bahkan Rasulullah ﷺ juga memberi pujian kepada para sahabat. Oleh kerana kehidupan Rasulullah ﷺ dan para sahabat itu terjemahan sebenar Islam itu, mari kita lihat, bagaimana Rasulullah ﷺ memberi pujian, dan bagaimana pula sikap sahabat dalam menerima pujian.

Rasulullah ﷺ pernah memuji kepandaian Sayidina Ali dengan bersabda:

انا مدينةالعلم وعلي بابها

“Jika aku adalah gedung ilmu, maka Ali-lah pintunya”

Mendapat pujian yang begitu mulia dari Rasulullah ﷺ (Rasulullah tidak pernah memberikan pujian itu kepada sahabat lain kecuali Sayyidina Ali) tidak membuat beliau (Sayidina Ali) besar hati melainkan beliau tetap bertambah tawadhu’...pujian itu dikembalikan kepada Allah.

Sayidina Ali sentiasa amalkan doa dari Rasulullah ﷺ sebagai ubat hati, setiap kali menerima pujian.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ مَا لاَيَعْلَمُوْنَ

وَلاَ تُؤَاخِذْنِيْ بِمَا يَقُوْلُوْنَ

وَاجْعَلْنِيْ خَيْرًا مِمَّا يَظُنُّوْنَ

"Ya Allah, ampunilah aku dari apa yang tidak mereka ketahui (dari diriku), dan janganlah Engkau hukum aku atas apa yang dikatakan oleh orang-orang itu, Dan jadikanlah aku lebih baik dari apa yang mereka sangkakan."

Mari pujuk hati kita, hakikatnya segala-gala di dunia ini milik Allah. Ilmu yang ada Allah yang punya, hanya Allah pinjamkan sementara beserta amanahnya. Buat apa nak sombong? Pujian atau kejian dari manusia juga milik Allah, kembalikan kepadanya.Mana milik kita? Tidak ada milik kita kerana semua yang ada ini Allah yang punya.

Ikhlas itu adalah roh ibadah, ertinya, tiada ikhlas, tiadalah nyawa bagi ibadah itu. Ibadah yang tiada jiwa, adalah ibadah yang mati. Kalau benda yang bernyawa kalau tidak ada roh, ianya hanya jasad yang kosong.

Ertinya ibadah dan kebajikan yang tidak ikhlas (tidak ada rohnya), ibadah dan kebajikan itu tidak diterima. Biarlah ibadah dan kebajikan yang sedikit tapi murni (ikhlas), daripada banyak, ikhlasnya tidak ada, maka akan tertolak semuanya.

Oleh itu roh ibadah kenalah dijaga, kerana ia penentu ibadah atau kebaikan kita ditolak atau diterima. Bukan mudah beribadah atau membuat kebaikan dengan ikhlas, kerana ikhlas ertinya buat sesuatu amalan kebaikan semata-mata kerana Allah Taala, tidak ada sedikit pun kerana selain-Nya. Malah kalau dibuat juga kerana selain-Nya, ibadah atau kebaikan itu tidak diterima Allah SWT.


Siapa yang mengaku dia ikhlas kalaupun sebelum itu dia ikhlas, automatik keikhlasannya terbatal.
Katanya, "Ambillah! Saya ikhlas ni!"

SUMBER:
byMohdFadliYusof on Thursday, March 10, 2011 at 10:59pm
(Status FB Mohd Fadli Yusof: Monday 07 March 2011 at 6:30pm)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...